Versi Lama
Carian Terkini
Kod MASCO
2141-02
Bandingkan
Jurutera Robotik mereka bentuk, membangun dan melaksanakan sistem dan aplikasi robotik yang beroperasi secara autonomi atau dengan intervensi manusia yang minimum. Mereka mengintegrasikan komponen mekanikal, elektrik dan perisian untuk mencipta robot untuk industri seperti pembuatan, kesihatan, automotif dan pertahanan, dan bertanggungjawab untuk pengaturcaraan, pengujian dan penyelenggaraan sistem ini bagi memastikan operasi yang cekap dan selamat. Mereka juga menyelidik dan menambah baik teknologi robotik, bekerjasama dengan jurutera dan pihak berkepentingan untuk mengoptimumkan prestasi dan mengintegrasikan robot ke dalam proses pengeluaran.
Tugasan
Mereka bentuk dan membangunkan sistem serta komponen robotik untuk aplikasi industri atau khusus.
Membangunkan algoritma kawalan dan perisian untuk operasi robotik dan pelaksanaan tugasan.
Memprogram, mengkonfigurasi dan mengintegrasikan robot dengan penderia, penggerak dan sistem kawalan.
Memasang, menempatkan dan menguji sistem serta aplikasi robotik.
Menjalankan simulasi dan ujian prestasi untuk menilai fungsi dan kebolehpercayaan sistem robotik.
Menganalisis isyarat penderia dan data operasi untuk menambah baik prestasi sistem robotik.
Menyelesaikan masalah, mendiagnosis, membaiki dan menyelenggara sistem serta komponen robotik.
Mengoptimumkan prestasi sistem robotik dengan melaraskan perisian, perkakasan dan konfigurasi sistem.
Bekerjasama dengan pasukan pelbagai disiplin dan melatih operator mengenai penggunaan sistem robotik yang selamat dan berkesan.
Kemahiran
Asas
Kemahiran asas pengaturcaraan dan analitikal untuk membangunkan,menilai serta meningkatkan prestasi robotik.
Kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan yang berkesan.
Kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis yang kukuh.
Kreativiti dalam mereka bentuk dan mengoptimumkan sistem robotik.
Perhatian terhadap perincian serta pemahaman tentang prinsip kejuruteraan mekanikal,elektrik dan perisian.
Khusus
Kecekapan dalam alat simulasi robotik dan sistem pengendalian masa nyata (RTOS) untuk pengujian dan pelaksanaan.
Kecekapan dalam memprogram dan mengkonfigurasi robot industri dan autonomi, serta platform robot industri.
Kecekapan dalam mengintegrasikan penderia, penggerak, kamera dan peranti berkaitan untuk interaksi robot dengan persekitaran.
Kecekapan dalam perisian reka bentuk berbantu komputer (CAD) dan reka bentuk berbantu komputer serta pembuatan berbantu komputer (CAD/CAM) untuk reka bentuk mekanikal dan prototaip.
Keupayaan untuk menyelesaikan masalah sistem robotik dan mengekalkan operasi automasi yang cekap.
Pengetahuan dalam pembelajaran mesin dan kecerdasan buatan untuk fungsi robot autonomi.
Pengetahuan dalam prinsip kejuruteraan mekanikal dan elektrik untuk reka bentuk, pembinaan dan operasi robot.
Pengetahuan dalam sistem kawalan, kawalan pergerakan dan pengoptimuman algoritma untuk aplikasi robotik.
Pengetahuan dalam standard keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi persekitaran robotik.
Maklumat Tambahan
KELAYAKAN
Ijazah Sarjana Muda atau setaraf
Bandingkan (/2)

📌 PEMAKLUMAN📌

Selamat datang ke Portal e-MASCO versi baharu.
Portal ini sedang dalam proses penambahbaikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).


Buat masa ini, kandungan portal masih berasaskan versi MASCO 2020, kandungan terkini dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun 2026. Sesetengah maklumat atau fungsi mungkin masih dalam fasa percubaan.


Sehubungan itu, pihak kami amat menghargai sebarang maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada pengguna bagi mempertingkat fungsi serta kandungan portal ini. Sila salurkan pandangan anda melalui halaman Maklum Balas.